KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menafikan video tular yang memaparkan seekor harimau yang didakwa dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun adalah spesis Harimau Malaya.
Jelasnya, hasil semakan dan pengesahan lanjut mendapati hidupan liar dalam video berkenaan adalah Harimau Amur(Panthera tigris altaica) dan bukan Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni).
Tegasnya, Harimau Amur tersebut bukan milik Jabatan PERHILITAN atau Kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.
“Penularan maklumat yang tidak tepat ini telah menyebabkan kekeliruan awam, khususnya apabila spesies hidupan liar tersebut disalah anggap sebagai Harimau Malaya, sekali gus menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, video laporan oleh sebuah akhbar bertajuk “Netizen Sparks Outcry Over ‘Emaciated’ Malayan Tiger In Japan” yang telah tersebar luas di media sosial pada 30 April 2026.
Video tersebut memaparkan seekor harimau yang didakwa sebagai Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan kebajikan hidupan liar dan imej pemuliharaan Harimau
Sehubungan itu, PERHILITAN ingin menegaskan bahawa orang awam hendaklah bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, khususnya di media sosial, dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan sebarang kandungan.
Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat atau tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan persepsi negatif, serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa.
Orang ramai juga disaran untuk merujuk kepada sumber rasmi kerajaan atau pihak berautoriti dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih, serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang tidak berasas. -MalaysiaGazette
















