KUALA LUMPUR – Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh terbaik negara daripada pelbagai lapangan dalam sistem pendidikan sekolah, prasekolah sehingga ke pendidikan tinggi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kongres itu membariskan tokoh dan mantan Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi yang turut bersama merancang kongres antaranya Tan Sri Idris Jusoh, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memberitahu, gabungan antara ahli akademik, pembuat dasar dan pemain industri itu amat penting supaya setiap cadangan yang lahir bukan sahaja ideal daripada sudut teori tetapi praktikal dan mampu dilaksanakan di lapangan sebenar.
“Perbincangan dalam kongres ini akan memberi tumpuan kepada persoalan utama iaitu bagaimana idea-idea besar dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang sistematik, berimpak dan lestari.
“Kita percaya bahawa dengan pendekatan yang tepat, keberanian melakukan pembaharuan serta kesungguhan politik kuat, Bumiputera mampu berada di barisan hadapan sebagai masyarakat yang kompetitif, progresif dan bermaruah di peringkat nasional mahupun di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Hala Tuju Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kongres itu menghimpunkan enam sesi utama, 25 pembentang pakar dan enam pengerusi serta moderatornya di mana antara fokus utama yang dibincangkan termasuk penilaian dasar pendidikan Bumiputera, pengarusperdanaan aliran tahfiz dan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Fokus lain adalah pendidikan awal kanak-kanak, wakaf pendidikan, serta hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan yang akan dikendalikan mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
Menurutnya, segala dapatan dan perbahasan kongres itu akan dirumuskan dalam bentuk resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Seterusnya ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menjadi agenda negara dan kita mencadangkan agar ianya dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda besar dalam Majlis Pendidikan Negara.
“Harapan kita jelas, agar resolusi ini tidak menjadi sekadar dokumen yang tersimpan di rak-rak pejabat, tetapi menjadi asas kepada tindakan nasional yang konkrit, berani dan berkesan,” katanya. – MalaysiiaGazette

















