KUALA LUMPUR – Sejarah telah membuktikan kekuatan sesuatu bangsa tidak hanya diukur pada kekayaan material atau kemajuan fizikal semata-mata tetapi pada kualiti pendidikan, kekuatan ilmu dan nilai yang dimiliki.
Justeru Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tanggungjawab pemimpin hari ini bukan kecil kerana mereka sedang menentukan arah masa depan generasi Bumiputera yang akan datang.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memberitahu, ia bukan sahaja mahu melahirkan anak bangsa yang cerdik dan berkemahiran tinggi tetapi lebih utama generasi yang memiliki akhlak, adab dan jiwa kemanusiaan luhur.
“Kerana pendidikan yang sebenar bukan hanya melahirkan manusia yang pintar berfikir tetapi manusia yang tahu makna tanggungjawab, nilai dan peradaban. Dengan pendidikan, lahirnya seorang pemimpin.
“Dengan pendidikan, lahirnya manusia yang memiliki ilmu, adab dan akhlak yang tinggi. Kita mengharapkan akhirnya nanti kita akan melahirkan generasi Bumiputera yang akan menggapai ke langit dan mengakar ke bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Hala Tuju Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, kongres itu bukan sekadar platform perbincangan biasa sebaliknya ruang muhasabah nasional untuk menilai kedudukan sebenar Bumiputera dalam landskap pendidikan hari ini.
Jelas beliau, ia juga merupakan makmal idea, merumus pendekatan baharu yang lebih segar, realistik dan berimpak tinggi selain menjadi medan penyelesaian untuk menangani isu-isu kritikal yang menghambat kemenjadian Bumiputera unggul.
“Prinsip kita jelas, yang baik kita pertingkatkan, yang lemah kita perbaiki dengan berani dan tuntas daan yang paling utama, bagaimana segala perbincangan, cadangan serta catatan di atas kertas ini dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang strategik, ampuh dan benar-benar terlaksana.
“Bukan retorik semata-mata kerana bangsa yang besar bukan hanya bangsa yang pandai berbicara tetapi bangsa yang mampu melaksanakan agenda,” katanya.

Zambry memberitahu, apa yang perlu difahami, pendidikan bukan sekadar soal berapa ramai anak Bumiputera yang berjaya melangkah masuk ke institusi pendidikan tinggi.
Namun tegas beliau, lebih penting ialah bagaimana pemimpin memastikan permulaan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak Bumiputera sejak dari peringkat paling awal kehidupan mereka.
“Jurang pendidikan tidak bermula di universiti. Ia bermula sejak di peringkat awal kanak-kanak, daripada akses kepada pendidikan berkualiti, persekitaran pembelajaran yang kondusif, kekuatan institusi keluarga, budaya membaca, penguasaan bahasa, pemakanan, sehinggalah kepada sokongan sosial yang membentuk keyakinan dan daya fikir anak-anak kita.
“Jika asasnya rapuh, maka sukarlah untuk kita membina generasi yang benar-benar bersaing pada peringkat yang lebih tinggi. Sebab itu kita perlu melihat pendidikan Bumiputera secara menyeluruh, daripada pendidikan awal kanak-kanak, sekolah, latihan kemahiran, pendidikan tinggi sehinggalah kepada pembinaan budaya ilmu sepanjang hayat.
“Kita tidak mahu sekadar melahirkan angka, statistik kemasukan ke universiti. Kita mahu melahirkan generasi Bumiputera yang mempunyai kekuatan ilmu, kemahiran, daya cipta, keyakinan diri, serta keutuhan akhlak dan adab.
“Kerana masa depan sesuatu bangsa tidak dibina hanya di dewan kuliah atau dalam bilik-bilik darjah tetapi dibentuk sejak awal di rumah, di sekolah dan dalam ekosistem masyarakat yang menghargai ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette

















