RAWANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk mencari jalan menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Israel ketika menyertai pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau akan menghubungi rakan-rakan di negara teluk dan Arab memaklumkan perkembangan semasa bagi membebaskan kesemua rakyat Malaysia yang terlibat.
“Kita doakan keselamatan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi rakyat yang terlibat dalam tahanan oleh rejin zalim, Israel.
“Saya sedang ikhtiar, saya sudah hubungi Kementerian Luar dan kita hubungi juga negara sahabat yang boleh,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan Israel yang menahan peserta misi kemanusiaan yang berada di perairan antarabangsa sebagai tindakan gila.
“Ini kerja gila, tidak menghormati langsung. (Mereka) belum masuk kawasan Israel lagi, masih kawasan antarabangsa.
“Demikian kezaliman berterusan (Israel). Tidak berpuas hati dengan bunuh wanita dan anak-anak, serang Iran, Lubnan dan sekarang orang yang mahu bantu dengan bukan bawa senjata bawa makanan, minuman serta ubatan dan kelengkapan,” tambahnya.
Terdahulu dilaporkan, Pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad dipercayai antara ditahan rejim bersama dua lagi rakyat Malaysia semasa pintasan kapal dilakukan awal pagi semalam.
Difahamkan kapal yang dinaiki ZRA adalah Arkham III atau Al-Faluja, manakala dua lagi; Dr Jihan dan Kapten Osman menaiki kapal Eros I.
Terdahulu media melaporkan misi pelayaran kemanusiaan GSF berdepan ancaman apabila bot tentera Israel mengepung dan memintas 11 kapal GSF secara tidak sah berhampiran zon mencari dan menyelamat di perairan Greece.
Dalam insiden itu, tentera Zionis turut mengancam penculikan dan keganasan.- MalaysiaGazette
















