KUALA LUMPUR – Ultras Malaya akan memboikot semua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta merta.
Pihaknya memberikan tempoh sehingga 31 Ogos ini supaya tiga tuntutan pihaknya dipenuhi dan dilaksanakan bagi memastikan bola sepak Malaysia benar-benar merdeka daripada kerosakan system yang berpanjangan.
Pada 13 April lalu, Ultras Malaya menuntut kerajaan menarik balik kerakyatan tujuh pemain, memulangkan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan reformasi bola sepak Malaysia.
“Kami Ultras Malaya kekal dengan pendirian memperjuangkan bola sepak Malaysia yang tulen, jijur, adil dan bersistem serta menolak sekekras-kerasnya sebarang bentuk penggunaan bola sepak sebagai alat untuk memenuhi nafsu, pengaruh dan kepentingan peribadi mana-mana pihak atau individu,” katanya dalam kenyataan.
Tindakan itu diputuskan bukan atas dasar kebencian terhadap pasukan kebangsaan atau mana-mana pihak tetapi demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih bermaruah, tersusun dan bertanggungjawab, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















