KUALA LUMPUR – Sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ahlong kini dikesan semakin agresif menyasarkan golongan muda termasuk remaja bawah umur serta individu rentan seperti orang kurang upaya (OKU).
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, trend tersebut amat membimbangkan apabila mangsa mudah diperdaya ketika berada dalam tekanan kewangan.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas sidang media di sini semalam.
Menurut beliau, MHO menerima aduan membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang masih bersekolah dan didakwa terperangkap dengan hutang along sehingga mencecah RM20,000.
Katanya, mangsa pada awalnya hanya membuat pinjaman kecil sekitar RM500 sebelum diperkenalkan kepada beberapa pemberi pinjaman lain yang kononnya mahu membantu menyelesaikan hutang terdahulu.
“Namun akhirnya mangsa terperangkap dalam pinjaman bertindih sehingga jumlah hutang meningkat berkali ganda. Ini menunjukkan bagaimana sindiket mengambil kesempatan terhadap golongan muda yang kurang memahami implikasi kewangan dan mudah dimanipulasi ketika terdesak,” dedah beliau.
Hishamuddin berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila mangsa dan ahli keluarganya mula menerima ugutan daripada individu dipercayai along.
“Antara ugutan diterima termasuk mahu mencederakan mangsa selain ancaman kononnya mangsa akan diculik sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Kes seperti ini sangat serius kerana membabitkan remaja bawah umur yang masih bersekolah,” ujarnya.
Menurut beliau, laporan polis sudah dibuat pada 29 April lalu dan kes kini disiasat Polis Daerah Sepang.
Dalam perkembangan sama, Hishamuddin turut mendedahkan satu lagi kes membabitkan seorang lelaki OKU berusia 29 tahun yang mendakwa diperdaya sindiket along selepas membuat pinjaman bagi membantu rakannya melangsaikan hutang.
Katanya, mangsa didakwa membuat pinjaman RM5,000 namun hanya menerima RM3,800 selepas sejumlah wang dipotong sebagai caj pemprosesan.
“Mangsa kemudian membuat bayaran bulanan selama beberapa bulan namun baki hutang didakwa terus meningkat sehingga lebih RM12,000 akibat kadar faedah yang melampau.
“Ini antara taktik sindiket along yang mengenakan faedah tidak munasabah sehingga mangsa gagal keluar daripada beban hutang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang mempunyai kad OKU akibat masalah sawan serius itu turut membuat laporan polis pada 9 April lalu namun mendakwa masih belum menerima perkembangan siasatan.
Sehubungan itu, Hishamuddin menggesa polis membuka kertas siasatan segera terhadap kegiatan ahlong terbabit kerana dipercayai melibatkan unsur pemberian pinjaman tanpa lesen serta kadar faedah melampau. – MalaysiaGazette















