Asisten Komisioner Shamsudin Mamat.

KUALA LUMPUR – Dua suspek ditahan selepas terlibat dalam insiden dikejar polis di Lebuh Raya NKVE berhampiran susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke Shah Alam semalam yang berakhir dengan pelanggaran sebuah kereta jenis BMW dan penemuan 17 paket disyaki dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.05 malam apabila sebuah kereta jenis Proton Preve cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Dalam usaha meloloskan diri, suspek memandu secara berbahaya sehingga memasuki persimpangan Subang Jaya sebelum merempuh sebuah kenderaan BMW berwarna hitam di lampu isyarat Persiaran Tujuan.

“Susulan kejadian itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan di lokasi. Pemeriksaan lanjut menemui 17 paket lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah seberat kira-kira 16 gram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek pertama merupakan lelaki tempatan yang mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek kedua adalah wanita warga asing tanpa sebarang rekod kesalahan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala suspek wanita negatif,” jelasnya.

Kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

Selain itu siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan saksi diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast