Eusoff Azman

MAKKAH – Walaupun menjadi antara jemaah haji termuda dan datang berseorangan tanpa keluarga di Tanah Suci, ia bukan masalah buat Eusoff Azman.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) ini berkata, ia kerana dia sudah terbiasa berjauhan dengan keluarga kerana bersekolah asrama.

Walaupun perjalanan menjadi duyurfurahman merupakan satu pengalaman baru tetapi ia menyeronokkan.

Eusoff yang berusia 18 tahun berkata, di sini dia ditempat sebilik bersama jemaah haji berusia 50-an namun dia langsung tidak canggung.

“Alhamdulillah, saya tiada masalah di sini, kami makan pun sekali dan boleh sembang walaupun jurang umur besar. Ini pengalaman dan cabaran kepada saya,” katanya di sini.

Eusoff yang suka beriktikaf dari Maghrib hingga Subuh di Masjidil Haram rasa bertuah kerana rakan-rakan sebilik sentiasa mengambil berat keadaannya.

“Mereka menjaga saya sebenarnya, selalu bertanya ke mana saya pergi, dan kadangkala mengambil makanan untuk saya,” tambahnya.

Anak keempat dari enam adik beradik ini tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapanya yang menabung untuknya dan adik beradik lain.

Menurutnya, ibu dan ayahnya mula menabung untuk dia sejak dia dilahirkan pada 2008.

“Mak memang sudah buat akaun Tabung Haji untuk semua adik-beradik sejak kami kecil dan tahun ini giliran saya (pergi haji). Mak, ayah dan tiga lagi adik-beradik atas saya sudah mengerjakan haji. Dua lagi adik di bawah akan menyusul kemudian,” tambah beliau.

Eusoff yang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran susulan mendapat keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berharap dia dapat meneruskan pendidikannya ke peringkat lebih tinggi dan membalas jasa kedua-duanya.

Remaja ini berhasrat untuk melanjukan pendidikan dalam bidang kejuruteraan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Eusoff berkata, biarpun berseorangan di sini, maknya hampir setiap hari menghubungi dia untuk mengetahui perkembangannya.

“Bila mak call, dia akan selalu pesan jaga diri, jaga solat dan banyakkan ibadah,” tambah anak kepada pasangan jurutera dan jururawat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast