KUALA LUMPUR – Tidak ada agama atau budaya bangsa yang mengajar manusia hilang kawalan dan mengangkat hiburan melampau tanpa adab.
Bahkan kata pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun, dalam asas negara ini sendiri, kesopanan dan kesusilaan dijunjung sebagai prinsip bersama walau apa jua agama.
Maka, katanya, apabila sesuatu itu jelas melampaui batas, ia bukan lagi soal agama semata-mata tetapi soal maruah manusia dan budaya masyarakat.
“Hati-hati. Apabila kemungkaran tidak lagi terasa sebagai salah dengan pelbagai hujah, itu bukan tanda kita semakin terbuka.
‘Semakin maju atau dipandang dunia tetapi ia tanda hedonisme menjadi satu budaya dan imej bangsa sedang dicarik-carik. Jangan sampai kita diam kerana takut manusia sedangkan kita lupa untuk takut kepada Allah.
“Kerana satu hari nanti, yang akan ditanya bukan berapa ramai yang setuju dengan kita tetapi apa yang kita lakukan saat melihat kemungkaran di depan mata,” tulis di Facebook.
Asma’ menambah, apa yang lebih menakutkan bukan tidak mampu mencegah tetapi bila hati sudah tidak rasa apa-apa.
“Seolah-olah dosa itu bukan lagi sesuatu yang memalukan tetapi menjadi bahan hiburan dan normalisasi. Ada yang berkata, itu untuk orang bukan Islam, itu ruang hiburan mereka. Namun hakikatnya, fitrah manusia tidak pernah menerima perbuatan hilangnya kehormatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















