Emapat dari tujuh anak kepada Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman melihat foto terakhir yang menjadi kenangan mereka sekeluarga di kediaman mereka di Desa teratai, Muadazam Shah hari ini

MUADZAM SHAH – Tiada siapa dalam keluarga menyangka mesej WhatsApp yang diterima ketika senja menjelma rupa-rupanya membawa berita yang meruntun jiwa apabila Mohamad Nor Sulaiman, 65, meninggal dunia di Tanah Suci.

Muhammad Syakir Mohamad Nor, berkata, mesej yang diterima pada 1 Mei lalu memaklumkan bapanya pergi buat selama-lamanya di Tanah Suci, selepas rebah ketika menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, khabar itu diterima daripada petugas Tabung Haji, sebelum disusuli panggilan rasmi beberapa minit kemudian yang mengesahkan pemergian ayahnya.

“Ketika itu waktu Maghrib, abah disahkan pergi semasa di Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat. Lebih kurang pukul 11.30 pagi abah dikhabarkan rebah dan disahkan meninggal pada jam dalam 12 tengah hari waktu Arab Saudi.

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci, Allahyarham Mohamad Nor bin Sulaiman, 65 tahun, di kediaman keluarganya di Desa Teratai, Muadzam Shah.

“Alhamdulillah, dimaklumkan urusan memandikan jenazah, pengebumian semua selesai waktu Maghrib  pukul 7.44 petang Arab Saudi (12.44 pagi waktu Malaysia) yang diuruskan oleh Tabung Haji sepenuhnya. Kami terima dengan hati terbuka, kami reda,” katanya.

Namun, katanya sebagai anak, mereka terkilan kerana tidak dapat menunaikan tanggungjawab menyempurnakan jenazah bapa mereka buat kali terakhir akibat faktor jarak.

“Akan tetapi abah ‘pergi’ di tempat yang mulia, pada hari yang mulia. Berita yang membuatkan air mata kami mengalir itu adalah disebabkan kami terharu abah meninggal dengan sangat mulia.

“Allah SWT muliakan arwah abah walaupun kami terkilan sebab memang tidak dapat nak memandikan arwah abah,” katanya sambil menitiskan air mata.

Ujar anak ketiga itu, kini yang menjadi keutamaannya ialah ibunya yang kini dalam tempoh iddah bagi meneruskan ibadat haji.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana menguruskan keperluan di samping memberi sokongan kepada ibu mereka, Salila Kasmin, 56 tahun.

“Kita fikirkan mak di sanalah sebab yang pergi haji ini cuma mak dengan abah sahaja, berdua. Jadi sekarang tinggal mak seorang tapi Alhamdulillah, petugas haji, saudara-mara dan kawan-kawan mak semua ada di sana dan memberi semangat dekat mak.

“Kami di sini berdoa dan menunggu mak kembali dengan sihat dan selamat, semoga dipermudahkan urusan ibadahnya,” katanya.

Sementara itu, Nur Faezah Md. Nor, 27, pula berkata, arwah bapanya merupakan pesara Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan seorang yang pendiam, namun sentiasa menceriakan anak-anaknya.

Keperibadian abahnya menjadikan anak-anak merindukan figura itu lebih-lebih lagi hari ulang tahun kelahiran ayahnya ke-65 hari ini, 4 Mei yang tidak dapat diraikan seperti sebelum ini.

“Selalunya 4 Mei memang kami akan berkumpul adik-beradik sambut birthday abah. Makan kek, bagi hadiah, kita buat video dan itu memang rutin setiap kali birthday family terutamanya mak abah.

“Dan tak sangka pada 4 Mei tahun ni, abah tak ada. Rupanya yang tahun lepaslah yang terakhir dengan abah. Tapi saya bersyukur sebab setiap kali birthday, Kita ada rekod video. Cuma tahun ni sangat berbeza, dah tak ada dah rutin tu semua,” katanya.

Bagaimanapun, ujar guru sekolah agama, dia bersyukur bapanya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama ibunya dan ditakdirkan meninggal dunia di sana merupakan kematian yang dicemburui.

Jemaah haji berkumpul di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) KLIA

Lebih memilukan, Nur Faezah berkata, ayahnya seakan membuat persiapan rapi sebelum ke sana selepas tiga kali mendapat tawaran panggilan haji.

Ujar anak keenam itu, bapanya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi meningkatkan aspek keselamatan keluarga.

“Kami semua berada dalam kereta dan melihat abah memasang CCTV sebelum kami bertolak dahulu. Rupa-rupanya abah pasang CCTV di halaman rumah tepi pintu,” katanya.

Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah pada jam 11.30 pagi waktu tempatan pada 1 Mei lalu akibat komplikasi jantung.

Bapa anak tujuh itu rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat ketika berada di kawasan Masjidil Haram.

Arwah berlepas menunaikan haji bersama isteri Salila Kasmin pada 21 April lalu antara 1,680 jemaah dari negeri ini.

Pengarah Tabung Haji Pahang, Rosdi Dollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Muadzam Shah) menziarahi keluarga Allahyarham Mohamad Nor, hari ini

Lembaga Tabung Haji (TH) menyampaikan sumbangan kepada kepada keluarga waris di di Desa Teratai, Muadzam Shah, di sini menerusi Pengarah TH Pahang, Rosdi Dollah bersama Exco Kerja Raya, Kesihatan dan Pengangkutan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim, hari ini.

Mereka menyantuni empat orang anak arwah di kediaman keluarga itu dengan menyerahkan Takaful Khairat Kematian sebanyak RM1,500 serta air zam-zam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast