Liew Chin Tong

ISKANDAR PUTERI – Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong percaya formula perpaduan adalah formula terbaik untuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, formula tersebut dapat direalisasikan dengan keikhlasan, persefahaman dan kerjasama daripada kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, faktor kemampuan kemenangan sesuatu formula memainkan peranan yang kritikal.

“Harapan saya ialah UMNO pada hari ini dapat memikirkan semasak-masaknya apa formula yang terbaik untuk Johor dan Malaysia.

“Saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan kembali atau tidak ke dewan yang mulia jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan,” katanya ketika berucap dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Chin Tong berkata, terdapat beberapa perkara daripada sudut sejarah politik masing-masing yang wajar dipertimbang dan direnungkan UMNO.

Pertama katanya, UMNO dan DAP mempunyai sejarah yang panjang dengan tahun ini UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-80 manakala DAP pula ulang tahun ke-60.

Masing-masing, katanya, mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri namun sebagai pemimpin, tidak sepatutnya melihat parti lain mengikut karikatur atau fake news atau fitnah yang dilemparkan oleh cybertroopers.

“Kita sepatutnya sentiasa bersedia untuk bersemuka bagi membincangkan atau menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

“Kami dalam DAP menganggap diri sebagai pembina negara (nation builders) dan kami yakin wawasan kami untuk Malaysia menjadi sebuah negara progresif serta bergerak ke hadapan mendepani pelbagai cabaran, dikongsi oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Kami tidak mahu menoleh kembali ke zaman yang telah lama berlalu,” katnaya.

Kedua, katanya, golongan atas pagar akan menentukan hala tuju dan masa hadapan negara terutamanya dalam pilihan raya umum.

Katanya, perbezaan peratus keluar mengundi antara Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022 dan pilihan raya negeri (PRU) pada November 2022 sudah cukup untuk menyedarkan kedua-dua pihak bahawa pengundi atas pagar akan menjadi penentu.

Semua parti, katanya, perlu bersedia menerima kemungkinan 80 peratus pengundi keluar mengundi semasa PRU-16.

Ketiga pula, katanya, generasi baharu melibatkan Gen Z yang lahir antara 1997 dan 2012 akan menjadi penentu keputusan PRU akan datang.

Berdasarkan daftar pengundi pada 31 Disember 2025, Johor mempunyai 2,717,495 pengundi.

Daripada jumlah itu kata beliau, 26.4 peratus berusia di antara 18 dan 30 tahun dan 182,899 daripada mereka 6.7 peratus akan mengundi buat kali pertama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast