Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR — Srikandi PKR membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang didakwa cuba mencetuskan persepsi politik sempit berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Nurhidayah Che Rose berkata, kenyataan tersebut jelas memperlihatkan pendekatan politik cetek dan bermotifkan kepentingan peribadi dengan naratif melaga-lagakan yang hanya menguntungkan pihak lawan.

“Mempertikaikan hubungan PH-BN dengan naratif yang melaga-lagakan hanya menguntungkan PN. Ini bukan pendirian berprinsip, ini percaturan politik lama yang cuba dihidupkan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurhidayah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Khairy yang menyifatkan kerjasama BN-PH bukan satu ikatan mutlak sebaliknya bersifat sementara dan mempunyai garis masa tertentu.

Nurhidayah Che Rose
Nurhidayah Che Rose

Mengulas lanjut, Nurhidayah mendakwa selepas sekian lama tidak bersama UMNO, Khairy kini dilihat tampil seolah-olah membawa suara parti tersebut.

“Hakikatnya, ini bukan suara UMNO ini suara individu yang sedang mencari ruang untuk kembali relevan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan cubaan mencetuskan konflik serta kekeliruan dalam kalangan rakyat demi meraih populariti politik adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Cubaan mencetuskan konflik dan kekeliruan rakyat demi populariti politik adalah tindakan tidak bertanggungjawab. Malaysia tidak perlukan ‘batu api’ politik, rakyat perlukan kestabilan dan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar menghentikan politik murahan yang disifatkan semakin memualkan rakyat ketika negara memerlukan kestabilan serta fokus terhadap penyelesaian isu. — MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerjasama BN-PH hanya sementara – KJ

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast