Onn Hafiz semasa berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI – Konflik di Asia Barat tidak menjejaskan minat pelabur asing untuk terus menjadikan Johor sebagai destinasi utama pelaburan di rantau ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan pelabur terhadap Johor kekal kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global kesan daripada konflik geopolitik tersebut.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor, ini boleh dilihat semasa lawatan kerajaan negeri ke China baru-baru ini.

“Lawatan kerja terbaharu ke China menunjukkan minat berterusan syarikat dari negara itu untuk mengembangkan operasi mereka ke Johor.

“Lebih 30 syarikat menyatakan minat untuk melabur dan mengembangkan operasi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selaras dengan strategi China Plus One’” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Anuar Abdul Manap (BN-Pemanis) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Menurut Onn Hafiz, kebanyakan syarikat kini mencari lokasi yang stabil dan berdaya saing untuk mengembangkan perniagaan mereka di luar China.

Katanya, Johor dilihat memenuhi kriteria tersebut dengan menawarkan persekitaran pelaburan yang kondusif serta sokongan kerajaan yang konsisten.

Tambah beliau, maklum balas daripada syarikat logistik global, DHL turut membuktikan daya tarikan Johor yang semakin meningkat.

“DHL dilaporkan berjaya mencapai sasaran pengembangan dalam tempoh dua tahun berbanding unjuran asal selama 15 tahun, menunjukkan potensi besar negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau, JS-SEZ yang merupakan inisiatif bersama Malaysia dan Singapura kini dilihat sebagai enjin pertumbuhan baharu di Asia Tenggara.

Katanya, kejayaan menarik pelaburan adalah hasil kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri termasuk Malaysian Investment Development Authority serta kementerian berkaitan.

“Pelabur melihat Johor sebagai negeri yang stabil dan konsisten ketika dunia tidak menentu, sekali gus memberi keyakinan untuk mereka terus melabur di sini,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast