Tempat simpanan minyak diesel tanpa permit. - Foto: Ihsan KPDN Pahang

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang merampas 59,000 liter minyak diesel disimpan tanpa permit di kawasan industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) hari ini.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, rampasan dibuat menerusi serbuan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan pihaknya bermula jam 12.30 tengah hari tadi di sebuah premis di kawasan terbabit.

“Hasil serbuan mendapati premis tersebut digunakan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak diesel tanpa lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan.

“Antara barangan yang telah disita termasuk lima unit skid tank yang mengandungi anggaran sebanyak 57,000 liter minyak diesel.

“Turut dirampas, sebuah lori tangki industri yang mengandungi kira-kira 2,000 liter minyak diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 59,000 liter,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang, Jezlily Jamaluddin

Menurut Jezlily, kesemua rampasan yang dianggarkan bernilai RM355,000 itu telah disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 122] serta Subperaturan 18(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan tanpa lesen atau permit sah daripada Pengawal Bekalan.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai bahawa pihak kementerian akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang penyelewengan melibatkan barang kawalan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

“Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast