Anak-anak mangsa, D. Shatiswaran (kanan), D. Pavithra (tengah) dan D. Chera menunjukkan gambar-gambar lama keluarga selepas memberi penghormatan terakhir kepada ibu bapanya yang maut dirempuh kereta disyaki pemandu mabuk ketika tinjauan di kediamannya di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Ayah minta saya balik rumah awal.

Itu kata-kata terakhir A.Doraisingam kepada anak sulungnya sebelum maut dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan dipandu lelaki disyaki mabuk di sini semalam.

D.Shatiswaran, 26, tidak menyangka perbualan ringkas itu menjadi kata-kata terakhir bapanya.

D. Shatiswaran bercakap kepada media selepas memberi penghormatan terakhir kepada ibu bapanya yang maut dirempuh kereta disyaki pemandu mabuk ketika tinjauan di kediamannya di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2026.

Selain bapanya berusia 61 tahun, ibunya, A.Menagah, 56, yang menaiki motosikal yang sama disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan tragis itu.

“Sebelum hari kejadian, ayah ada minta saya untuk pulang ke rumah awal selepas pulang dari kenduri dan itu pesanan ringkas serta terakhir ayah pada saya.

“Kemudian, awal pagi hari kejadian itu saya diberitahu emak dan ayah saya terbabit dengan kemalangan dan saya terkejut dengan khabar itu sebelum segera ke lokasi,” katanya dalam nada sebak pada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, Doraisingam sedang menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles di sini yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi nahas.

Shatiswaran berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas yang menimpa kedua ibu bapanya hingga menjadikan mereka anak yatim piatu sekelip mata.

Shantiswaran yang bekerja sebagai juruteknik kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menanggung keperluan dua adiknya, Pavithra, 24 dan Chera,19.

Ditanya apa yang diharapkan, Shantiswaran berkata, mereka sekeluarga mahu menuntut keadilan atas kehilangan kedua ibu bapanya akibat kecuaian pemandu mabuk yang memberi kesan besar kepada mereka bertiga.

Anak-anak mangsa, D. Shatiswaran (kanan), D. Pavithra (kiri) dan D. Chera (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada ibu bapanya yang maut dirempuh kereta disyaki pemandu mabuk ketika tinjauan di kediamannya di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2026.

“Kami sekeluarga sedang pertimbangkan untuk tindakan lanjut dan buat masa sini, belum boleh buat laporan kerana polis sedang mengambil keterangan daripada pemandu dan penumpang yang cedera.

“Selepas proses itu selesai, barulah kami akan membuat laporan. Saya harap keadilan dapat ditegakkan untuk ibu bapa kami,” jelasnya.

Tinjauan MalaysiaGazette di rumah mereka di sini mendapati, suasana pilu dan kelihatan sanak saudara serta rakan-rakan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-dua mendiang.

Sementara itu, Pavithra yang ditemui dilihat tidak dapat menahan rasa hiba kerana komunikasi terakhirnya dia bersama ibu dan ayahnya adalah pada awal pagi hari kejadian sebelum mereka keluar rumah.

Anak kedua D. Pavithra tidak dapat menahan sebak selepas memberi penghormatan terakhir kepada ibu bapanya yang maut dirempuh kereta disyaki pemandu mabuk ketika tinjauan di kediamannya di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MEI 2026.

“Sekitar 4 pagi sebelum ibu pergi keluar bekerja, dia sempat bertanya saya kenapa tidak tidur lagi dan bagi saya RM50 untuk uruskan rumah pagi itu dan dia kelihatan biasa sahaja.

“Ayah pula pada malam hari terakhir sebelum kejadian memberikan saya secawan air untuk minum sebab saya memang rapat dengan ayah manakala abang dan adik rapat dengan emak,” ujarnya sambil menitiskan air mata.

Ditanya mengenai keperibadian ibu dan ayahnya, Pavithra berkata, ayahnya seorang yang berdisplin tinggi dan sering mengamalkan gaya hidup sihat serta positif malah tidak pernah minum alkohol serta merokok. 

Malah ayahnya juga sering gemar bersedekah dan mementingkan keluarga selain akan memastikan sanak-saudaranya diberi makanan yang mencukupi jika berkunjung ke rumah mereka.

“Ibu pula seorang wanita yang rajin, dia memang tak reti duduk diam dan ada sahaja benda yang mahu dibuat di rumah walaupun tidak sihat dia tetap mahu bekerja.

“Masa hari kejadian, dia sebenarnya demam tapi tetap mahu pergi bekerja dan pada 16 Mei ibu bakal sambut hari jadi manakala Ogos ini genap 30 tahun ibu berkhidmat di hospital berkenaan,” katanya dengan nada pilu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keluarga pasangan maut motosikal dirempuh pemandu dipercayai mabuk mohon diberi ruang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast