Sembilan individu berdepan detik cemas apabila sebuah van persiaran dinaiki terbabas di Kilometer 213.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, Alor Gajah pagi tadi.

ALOR GAJAH – Sembilan individu berdepan detik cemas apabila van persiaran dinaiki terbabas di Kilometer 213.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.18 pagi itu, kenderaan jenis Toyota Hiace berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah bas persiaran yang membawa sembilan mangsa terdiri daripada lapan warga India dan seorang pemandu lelaki warga tempatan terbabas.

“Dua kanak-kanak lelaki serta pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa lain termasuk seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan selamat tanpa kecederaan.

Operasi turut dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan terkawal serta tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 11.14 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast