KUALA LUMPUR – Pelakon Izreen Azminda dan bekas madunya, Intan Salleh menamatkan persengketaan yang berlarutan selama bertahun-tahun apabila mereka sepakat untuk bermaaf-maafan dan memilih jalan damai.
Izreen atau nama sebenarnya, Izreen Azminda Aznam, 41, meluah rasa syukur apabila segala pertikaian antara mereka dapat diselesaikan secara baik sekali gus diharap mampu mengeratkan hubungan anak-anak.
“Syukur Alhamdulillah ya Allah. Akhirnya pertikaian antara kami dapat diselesaikan secara baik. Terima kasih Intan.
“Harapan saya, selepas ini hubungan yang terjalin lebih terpelihara demi kebahagiaan kita bersama terutamanya untuk anak-anak,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram di sini hari ini.
Pada masa sama, pelakon drama Hadiah Dari Tuhan itu turut meminta maaf untuk setiap kekhilafan yang pernah dilakukan selama ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf jika sebarang tindakan atau perbuatan saya sebelum ini yang mengguris hati Intan dan mana-mana pihak.
“Segala perkongsian saya selepas ini adalah bersifat peribadi dan tidak merujuk kepada pihak lain,” ujarnya.
Berharap hubungan baik terus kekal terjalin, ibu kepada tiga anak itu berdoa segala perkara baik antaranya dengan Intan terus dipelihara Allah.
“Terima kasih sekali lagi Intan. Ya Allah, jagalah dan lindungilah hubungan ini sebaik-baiknya,” katanya.
Izreen tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada peguamnya yang sentiasa bersama dan memberi nasihat sepanjang proses di mahkamah.
Kemelut antaranya dan Intan berlaku sejak perkahwinannya dengan Ude Wahid yang juga pemuzik pada 8 Ogos 2017.
Mereka saling berbalas komen ‘panas’ dalam media sosial yang meraih perhatian umum sehingga akhirnya perseteruan itu membawa kepada kes di mahkamah pada tahun 2024.
Ude sebelum ini pernah mengahwini Intan pada 1 Mac 2013 namun mereka bercerai pada 22 Mac 2018 iaitu selepas beberapa bulan wanita itu dimadukan.
Perkahwinan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, manakala rumah tangga bersama Izreen pula diserikan tiga cahaya mata. – MalaysiaGazette
















