[ARKIB] Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan asas pada program Jualan Rahmah Madani Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di Bangunan Persekutuan Ipoh (Greentown), pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Jualan Rahmah MADANI akan ditingkatkan kepada seminggu sekali dan mesti dilaksanakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan cara itu, pembali dapat kepastian mengenai lokasi, hari dan jadual tetap program itu dilaksanakan.

Tambah beliau, kerajaan juga akan menumpukan program Jualan Rahmah MADANI di beberapa kawasan desa dan kampung terpilih, bukan hanya di pinggir bandar sahaja seperti sekarang.

“Tentunya ikhtiar ini tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi saya percaya ia dapat meringankan sedikit tekanan sekarang ini, dan insya-Allah dalam acara mingguan kita, dan mesyuarat Jemaah Menteri esoknya, setiap hari Rabu, kita akan terus meneliti dan mencari beberapa ikhtiar baru untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya semasa sidang media khas Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Menurut Anwar Jualan Rahmah MADANI yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhasil mengurangkan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Tambah beliau, kerajaan telah mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah MADANI pada tahun ini berbanding lebih 25,000 melibatkan semua kawasan DUN, tahun lalu.

Katanya, dalam menjayakan program tersebut, kerajaan mahu memastikan agar peniaga-peniaga kecil terlibat dan mendapat manfaat daripadanya.

“Kita tidak mahu ini jadikan satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar, tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah MADANI ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast