SEPANG – Aspek keselamatan pintu masuk negara tidak akan dikompromi meskipun Malaysia mencatatkan lonjakan kemasukan pelawat antarabangsa melalui pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 4.6 juta pelawat direkodkan memasuki negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, peningkatan itu menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi termasuk penggunaan teknologi secara menyeluruh bagi memastikan kelancaran pergerakan tanpa mengabaikan keselamatan.
“Prinsip KDN jelas, kelancaran tidak boleh mengatasi keselamatan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan pengoperasian di KLIA Terminal 1, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.

Saifuddin Nasution juga memaklumkan pelaksanaan sistem digital bersepadu MyNIISe dengan lebih 60 autogate yang mampu memproses penumpang dalam tempoh empat hingga lima saat.
“Sistem ini membolehkan pemeriksaan dilakukan melalui tiga kaedah iaitu pengecaman wajah, kod QR dan pasport itu sendiri.
“Saya melihat sendiri proses ini mengambil sekitar empat hingga lima saat sahaja, munasabah. Ini amat signifikan kerana kita mahu mengurangkan kesesakan di lapangan terbang sama ada semasa ketibaan atau pelepasan,” katanya.
“Ini merupakan satu game changer. Saya berpuas hati dengan prestasi sistem autogate ini yang akan menggantikan sistem lama secara berperingkat,” katanya.
Katanya lagi, fasa peralihan daripada sistem lama MyIMMS kepada sistem baharu MyNIIISe sedikit sebanyak akan ada gangguan teknikal atau glitches.
“Kita akan cuba meminimumkan gangguan tersebut, tetapi jika berlaku, ia adalah sebahagian daripada proses yang akan kita tangani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















