Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dengan Kuarters Soi, di Kuantan telah dimulakan pada 8 Mac 2021 di atas tapak seluas 18,210 meter persegi dengan kos pembinaan sebanyak RM25,581,224.24 dan dijangka akan mula beroperasi pada Jun ini.

KUANTAN – Kerajaan terus membuktikan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat apabila projek Klinik Kesihatan (KK) Sungai Soi (Jenis 3) yang dibina ketika negara berdepan cabaran pandemik Covid-19, berjaya disiapkan dan dijangka mula beroperasi Jun ini.

Projek bernilai RM25.5 juta itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 85,000 penduduk sekitar Kampung Sungai Soi, Kampung Kempadang dan kawasan sekitarnya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh mencabar membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan asas rakyat.

“Walaupun berdepan pandemik Covid-19, projek ini tetap diteruskan sehingga berjaya disiapkan.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada kemudahan kesihatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau hadir menyaksikan sesi Majlis Penyerahan Projek Fasiliti Kesihatan di Negeri Pahang Darul Makmur di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , Datin Paduka Roslinah Md Janiserta dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Saiful Azlan Shahrif.

Datuk Ir. Razali Kassim

Menurutnya, projek tersebut diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi menaik taraf perkhidmatan kesihatan sedia ada di Klinik Komuniti Kempadang kepada kemudahan lebih komprehensif.

Katanya, pembinaan klinik itu juga selaras dengan pertambahan pesat penduduk di kawasan Sungai Soi yang sebelum ini hanya bergantung kepada kemudahan asas seperti Klinik Desa Kempadang sebelum dinaik taraf kepada Klinik Komuniti.

“Dengan siapnya klinik baharu ini, pelbagai perkhidmatan kesihatan dapat disediakan di bawah satu bumbung sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian kepada rakyat.

“Lebih penting kewujudan fasiliti baharu ini membolehkan penduduk tidak lagi perlu berulang-alik mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Kuantan atau Klinik Kesihatan Kurnia.

“Ini yang rakyat mahukan iaitu kemudahan kesihatan yang mudah diakses dan dekat dengan komuniti,” katanya.

Majlis penyerahan projek tersebut telah disaksikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim.

Beliau berkata, dengan terbinanya Klinik Kesihatan Sungai Soi ini, rakyat di kawasan ini kini menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh merangkumi penjagaan kesihatan keluarga yang lebih sistematik dan selesa.

Ujarnya, klinik yang dibina di atas tapak seluas 18,210 meter persegi itu menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk rawatan pesakit luar, penyakit kronik dan tidak berjangkit

Selain itu, ia dilengkapi fasiliti kesihatan ibu dan anak, pergigian serta perkhidmatan sokongan seperti farmasi, X-ray, makmal, fisioterapi dan rehabilitasi.

Ir. Razali turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) atas kejayaan melaksanakan projek tersebut walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh pandemik.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus komited memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Datuk Ir. Razali Kassim ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Projek Fasiliti Kesihatan di Negeri Pahang Darul Makmur di sini hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga saya panjangkan kepada KKM yang memainkan peranan penting dalam memastikan projek ini bukan sahaja diluluskan, tetapi dilaksanakan dengan teliti dan memenuhi keperluan rakyat setempat.

“Ia bermula dari segi perancangan menaik taraf perkhidmatan dan memantau pelaksanaan projek sehingga terbinanya satu lagi fasiliti baharu kesihatan.

“Kerajaan tidak mahu pembangunan hanya di atas kertas, sebaliknya mesti dirasai rakyat di lapangan, tiada janji lihat bukti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast