Muhamad Izham Azhar dan Nur Shazrin Mohamad Latif bergambar bersama piala pusingan selepas dinobat Olahragawan Pahang dan Olahragawati Pahang di Anugerah Sukan Pahang 2023/2024.

KUANTAN – Atlet hoki kebangsaan, Muhamad Izham Azhar dinobat sebagai Olahragawan Pahang manakala bintang sukan pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif dinobat Olahragawati Pahang pada majlis berprestij pengiktirafan atlet negeri iaitu Anugerah Sukan Pahang 2023/2024.

Selain piala pusingan, kedua-dua atlet masing-masing menerima imbuhan wang tunai RM8,000, piala iringan dan sijil yang disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassnal Ibrahim Alam Shah dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan HAji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Mahathir Abdul Raffar.

Ketika ditemui, Muhamad Izham yang merupakan anak kelahiran Kuala Medang, Lipis sama sekali tidak menyangka diumum sebagai Olahragawan Pahang pada majlis itu.

“Tapi, saya rasa bangga dan syukur kerana diberi pengiktirafan seperti ini. Ini berkat sokongan keluarga dan jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.

Muhamad Izham Azhar

Olahragawati Pahang 2023/2024, Nur Shazrin juga tidak menyangka menerima penganugerahan itu kerana tersenarai bersama pesaing dari kategori sukan lain yang berpengalaman.

Namun, beliau berharap agar pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin untuk memperoleh lebih banyak kecemerlangan terutama dalam Sukan Asia 2026 pada September nanti.

“Sekarang hanya melakukan persediaan untuk Sukan Asia dan beberapa acara lain yang akan datang,” katanya.

Nur Shazrin Mohamad Latif

Nur Shazrin, 28, sebelum ini meraih pingat emas pertama negara menerusi temasya Sukan Asia, Hangzhou pada tahun 2023 selain mewakili negara ke Sukan SEA dan Sukan Olimpik.

Pada majlis sama, pasukan menembak mencuri tumpuan apabila merangkul lima daripada keseluruhan 13 senarai penganugerahan termasuk Anugerah Jurulatih terbaik iaitu Elena Sotnik.

Penerima lain turut meliputi Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan iaitu masing-masing Cheah Zen Hong dan Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli.

Pasukan menembak turut membawa pulang Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik dan Pasukan Wanita Terbaik 2023/2024 yang membawa pulang piala iringan dan wang tunai masing-masing RM4,900 dan RM4,200.

Pasukan menembak yang menerima anugerah ketika Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 di Dewan Jubli Perak Sultan HAji Ahmad Shah, Kuantan

Dalam pada itu, Anugerah Paralimpik Lelaki diberikan kepada atlet tenis, Mohamad Yusshazwan Yusoff, manakala Paralimpik Wanita dianugerah kepada atlet memanah, Loh Chi Hui, di mana masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM3,000.

Datuk Seri Zulkifli Yaacob pula dinobat sebagai Tokoh Sukan manakala Datuk Suhaimi Yunus pula menerima Anugerah Kepimpinan Sukan dan Prof Dr. Mohamad Azmi Nias Ahmad menerima Anugerah Penggerak Sukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast