Reaksi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi meneruskan proses rakaman keterangan berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Rafizi, yang tiba kira-kira 9.30 pagi, berkata siasatan setakat ini tidak melibatkan unsur rasuah atau transaksi kewangan, sebaliknya tertumpu kepada aspek prosedur.

“Ia mudah kerana siasatan setakat ini tidak berkaitan dengan wang atau rasuah, sebaliknya melibatkan soal prosedur … semua itu ada dalam rekod kerajaan.

“Saya tiada apa-apa yang hendak disembunyikan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Ahli Parlimen Pandan itu yang memberikan keterangan bagi tujuan sama semalam, bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Rafizi dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom.

Pada Sabtu lepas, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan bahawa Rafizi dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit yang dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan bagi mendapatkan suapan.

Dalam kenyataan berasingan, Mohd Hafaz berkata kehadiran Rafizi bertujuan memberikan kerjasama kepada SPRM dalam melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast