GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengesahkan tidak akan menghantar pasukan bola sepak lelaki ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 susulan kegagalan memuktamadkan senarai pemain dalam tempoh ditetapkan.
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap ketidakdaftaran pasukan itu, yang berpunca daripada ketiadaan senarai panjang (longlist) pemain untuk didaftarkan sebelum tarikh akhir oleh penganjur.
Menurut kenyataan itu, penyertaan ke SUKMA memerlukan atlet dan pasukan memenuhi standard kelayakan serta menjalani program latihan rapi lebih awal, termasuk komitmen latihan bulanan yang ditetapkan bagi memastikan prestasi kompetitif.
“Dalam erti kata ini, kelayakan untuk mewakili negeri di pentas SUKMA tidak dibuka sewenang-wenangnya untuk penyertaan tanpa kelayakan asas, ataupun pembentukan pasukan pada saat akhir.
“Malah, pasukan bola sepak SUKMA kebiasaannya diwakili pemain daripada skuad Piala Belia dan Piala Presiden di bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) atau Penang FC.
“Bagaimanapun, kesemua kontrak pemain bagi kedua-dua skuad itu bagi edisi 2025 telah tamat pada 30 November 2025, dan tiada kesinambungan program latihan dilaksanakan selepas itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambah kenyataan itu, kegagalan mengemukakan senarai pemain dalam tempoh pendaftaran 2 Januari hingga 13 Februari lalu menyebabkan Pulau Pinang tidak layak menyertai undian rasmi acara bola sepak lelaki yang diadakan pada 30 April lalu.
Jelasnya, usaha mendapatkan pemain daripada peringkat sekolah juga tidak dapat dilaksanakan berikutan faktor umur dan pengalaman, memandangkan kebanyakan pemain masih bawah 17 tahun dan tidak sesuai bersaing di peringkat bawah 21 tahun.
“Walaupun tidak menyertai acara bola sepak lelaki, Pulau Pinang tetap akan bertanding dalam acara bola sepak wanita serta futsal lelaki dan wanita yang telah dipersiapkan lebih awal bagi temasya berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette















