GEORGE TOWN – Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong menegaskan projek LRT Pulau Pinang tidak wajar dijadikan bahan politik sehingga menimbulkan kekeliruan serta ketakutan dalam kalangan rakyat.
Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, ia susulan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP bahawa projek itu boleh terbengkalai sekiranya parti berkenaan tidak lagi memerintah negeri.
Jelas beliau, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bersifat mengelirukan kerana pengangkutan awam merupakan keperluan asas rakyat dan perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa dipolitikkan, selain ia tetap diteruskan walaupun berlaku pertukaran kerajaan.
“Projek seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang dan pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia membuktikan pembangunan tidak bergantung kepada satu parti semata-mata.
“Malah, projek LRT tersebut kini diambil alih Kerajaan Persekutuan dengan kos RM13 bilion, yang menurutnya perlu dilaksanakan secara telus dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Oleh itu, kita nak ingatkan pemimpin DAP supaya memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek LRT berbanding menuntut kredit politik,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tong Keong turut mengemukakan tiga tuntutan iaitu menghentikan politiking projek LRT, memperbaiki pengurusan trafik di kawasan pembinaan, serta memastikan pampasan dan penempatan semula penduduk terjejas dilaksanakan secara telus dan adil.
“Parti Gerakan menyokong pembangunan pengangkutan awam, namun menolak sebarang usaha menjadikan projek itu sebagai alat politik,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa kelewatan projek lebih sedekad turut berpunca daripada kelemahan perancangan pengangkutan awam oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Kerja pembinaan yang sedang dijalankan dan dijangka siap sekitar 2031 telah mula memberi kesan kepada aliran trafik, termasuk di kawasan Komtar dan Sungai Ara yang mengalami kesesakan akibat penutupan jalan.
“Jadi kita menggesa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membentangkan laporan kemajuan serta status kewangan projek secara berkala kepada DUN dan orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette
















