ISKANDAR PUTERI – Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke pentas akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) semakin sukar apabila tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
Semangat skuad Harimau Selatan seakan diragut apabila penyerang sensasi Buriram United, Guilherme Bissoli meledak dua gol penting bagi memberi kelebihan besar kepada juara Thailand itu menjelang aksi timbal balik pada 13 Mei ini di Stadium Arena Chang.
JDT bermula Garang namun gagal memanfaatkan peluang awal dengan percubaan Nacho Mendez yang hampir menghukum kesilapan penjaga gol pelawat, Neil Etheridge namun berjaya diselamatkan pertahanan lawan.
Dominasi tuan rumah bagaimanapun tidak diterjemahkan kepada jaringan apabila Buriram terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi penyudah tajam Bissoli pada minit ke-34 hasil umpanan Sasalak Haiprakhon.
Malang terus menimpa JDT apabila pelawat menggandakan kelebihan menjelang rehat menerusi tandukan Theerathon Bunmathan, sekali gus memberikan tekanan besar kepada skuad kendalian Xisco Munoz.
Memasuki babak kedua, JDT cuba bangkit dengan meningkatkan tempo permainan, namun kekentalan benteng Buriram menyukarkan usaha mereka untuk menembusi gawang lawan.
Suhu permainan bertambah panas apabila berlaku kekecohan pada minit ke-50 selepas kapten Kenneth Dougall menyepak bola yang berada di kepala Jairo Da Silva yang sedang terbaring di atas padang hingga mencetus pertelingkahan antara kedua-dua pasukan.
Walaupun pemain JDT, Ager Aketxe berjaya merapatkan kedudukan pada masa kecederaan, harapan kebangkitan JDT tidak bertahan lama apabila Bissoli sekali lagi menghukum tuan rumah dengan gol ketiga menerusi sepakan voli untuk memastikan Buriram membawa pulang kelebihan dua gol.
Keputusan itu menyaksikan JDT berdepan tugas getir pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan, dengan hanya kemenangan besar mampu menghidupkan peluang mereka untuk mara ke final ACC musim ini.- MalaysiaGazette















