Anuar Ahmad (kiri berdiri) bersama kakitangan operasi haji di Makkah.

MAKKAH – Pengelola Jemaah Haji (PJH) diwajibkan membawa sekurang-kurangnya seorang pembimbing agama yang mendapat tauliah oleh Lembaga Tabung Haji.

Syarat ini turut membabitkan individu ‘selebriti’ yang dibawa oleh PJH.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anwar Ahmad berkata, hanya pembimbing agama tauliah sahaja dibenarkan memberi penerangan atau menjawab persoalan berkaitan ibadah haji kepada jemaah.

“Syarikat boleh bawa sesiapa sahaja, tetapi individu itu tidak boleh bercakap berkaitan urusan haji jika tidak ditauliahkan oleh TH. Ia mungkin strategi bisnes syarikat.

“Cuma untuk urusan ibadah dan penerangan haji, hanya mereka yang ada tauliah daripada Tabung Haji dibenarkan bercakap,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan tentang ada syarikat yang membawa selebriti ke Tanah Suci.

Anuar berkata, kehadiran selebriti oleh syarikat-syarikat mungkin sekadar nilai tambah atau strategi pemasaran syarikat masing-masing namun dalam urusan ibadah haji, hanya individu ada tauliah boleh bercakap.

Dalam pada itu, katanya, TH sentiasa memantau operasi PJH untuk memastikan syarikat-syarikat yang diberi lesen mematuhi setiap syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Jelasnya, PJH ini akan dinilai oleh jawatan kuasa penilaian dan mana-mana syarikat yang melanggar akan dikenakan tindakan.

“Tindakan ini pula terdiri daripada kategori ringan, sederhana dan berat. Hukuman paling berat sehingga PJH berkenaan disenaraihitamkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast