PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan kira-kira AS$2 bilion (RM7.9 bilion) dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dikembalikan kepada negara menjelang hujung tahun depan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, usaha itu melibatkan beberapa individu yang dipercayai menyimpan aset dan dana diperoleh daripada skandal berkenaan di luar negara.
“Dalam hal ini, kita nak mengembalikan lagi AS$2 bilion dan pada saya ia satu lagi cabaran yang kita kena hadapi.
“Ia cabaran yang mungkin dihadapi dari segi perundangan, namun saya boleh katakan bahawa SPRM mempunyai kerjasama baik dengan negara-negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan karya seni bernilai tinggi berkaitan pemulihan aset 1MDB di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit berikutan proses perundangan dan siasatan yang masih berjalan.
Menurutnya, SPRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa serta kerajaan luar negara bagi mengesan dan mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.
“Kesanggupan kami dalam menghadapi cabaran kes 1MDB sejak 3 Julai 2015 adalah satu sejarah kerana saya yang membuka fail 1MDB.
“Dari 2015 hingga 2025, sehingga kes ini dituduh di mahkamah dan sekarang ini proses kita adalah untuk membawa wang ini kembali,” katanya. – MalaysiaGazette
















