KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi yang maut dalam tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, bercadang mengemukakan tuntutan pampasan sekitar RM800,000 susulan dakwaan berlaku kecuaian dari aspek penyelenggaraan dan keselamatan di lokasi kejadian.
Peguam keluarga mangsa, M Partiben mendedahkan, jumlah tersebut dirujuk berdasarkan keputusan kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat dihempap pokok yang menyaksikan pampasan diberikan atas faktor kecuaian penyelenggaraan.
Menurutnya, tuntutan itu bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan kerana ia bergantung kepada hasil rundingan bersama pihak berkaitan.
Antaranya, kata beliau, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
“Kami berpendapat terdapat unsur kecuaian dalam kes ini termasuk kemungkinan melibatkan gangguan utiliti bawah tanah selain faktor geologi di kawasan terbabit.
“Namun nilai pampasan yang dicadangkan itu masih boleh berubah mengikut penilaian fakta serta hasil rundingan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, keluarga mangsa menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam bagi membolehkan beberapa urusan rasmi diselesaikan di India.
“Waris perlu pulang ke negara asal untuk menguruskan urusan bank dan dokumentasi lain yang tertangguh sejak kejadian itu,” ujarnya.
Katanya lagi, keluarga mangsa turut berdepan beban hutang kira-kira RM20,000 melibatkan kos perubatan selain perniagaan kecil keluarga yang terjejas selepas tragedi tersebut.
Katanya, salah seorang waris yang bekerja sebagai buruh di India turut kehilangan pekerjaan kerana terpaksa berulang-alik ke Malaysia bagi menguruskan dokumentasi dan proses berkaitan kematian mangsa.
“Selain itu, keluarga juga perlu menjaga bapa mangsa yang mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung,” ujarnya.
Difahamkan jumlah pampasan yang dicadangkan mengambil kira beberapa faktor termasuk usia mangsa, pekerjaan serta tanggungan keluarga.
Pada 27 Februari lalu, dilaporkan keluarga mangsa menggesa kerajaan mempercepatkan urusan pampasan selepas mendakwa mereka terus berdepan tekanan kewangan susulan tragedi tersebut.
Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dilaporkan terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India ketika berjalan di kawasan itu sebelum hilang dibawa arus bawah tanah.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selama sembilan hari bagaimanapun gagal menemukan mangsa sebelum ditamatkan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette















