Reaksi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Selepas empat hari berturut-turut, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akhirnya selesai diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sejak Isnin lalu, membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.

Urusan pelaburan itu melibatkan antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, hari ini adalah hari keempat dan terakhir SPRM merakam percakapan Rafizi yang telah bermula Isnin lalu.

“Sesi rakaman percakapan Rafizi untuk hari ini yang bermula jam 10 pagi tadi telah berakhir jam 4.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan Rafizi dan bekas pembantunya James Chai kini hampir siap dengan hanya dua lagi keterangan saksi yang belum dirakam.

Beliau berkata, dua saksi yang tinggal ialah seorang individu di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia dengan kertas siasatan dijangka diserahkan kepada timbalan pendakwa raya sejurus selepas keterangan akhir diperoleh.

Azam berkata, kes itu disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, penipuan dan pecah amanah jenayah.

Katanya, pegawai penyiasat telah mengenal pasti dua individu untuk kemungkinan didakwa, namun menegaskan bahawa keputusan untuk mendakwa terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kertas siasatan dibuka pada 16 Februari susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast