JOHOR BAHRU – Pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diluluskan hari ini merupakan satu bentuk reformasi dalam memperkukuh sistem demokrasi dan institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, langkah itu merupakan satu pembaharuan yang tepat pada masanya ke arah membina DUN Johor yang lebih kukuh, progresif dan berdaya saing demi masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat.
“Dalam landskap pentadbiran yang semakin kompleks, DUN Johor memerlukan pengukuhan daripada sudut kapasiti, keupayaan serta kedalaman perbahasan.
“Pelantikan ADUN lantikan yang mempunyai pengalaman datang daripada pelbagai latar belakang serta memiliki kepelbagaian kepakaran dan kewibawaan tertentu akan dapat menambah nilai kepada proses penggubalan dasar, memperkayakan perbahasan legislatif serta meningkatkan mutu semak dan imbang dalam sidang DUN,” katanya dalam satu kenyataan.
DUN Johor hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, tujuannya juga untuk memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.
Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berpandangan, langkah tersebut wajar disokong demi memperkukuh sistem demokrasi dan tadbir urus di Johor yang lebih berkesan serta berpandangan jauh.
“Ikhtiar ini juga penting bagi melengkapkan institusi legislatif negeri dengan pandangan, pengalaman dan keupayaan yang dapat membantu DUN Johor untuk berfungsi dengan lebih efektif, cekap dan berwibawa dalam mendepani cabaran semasa,” ujarnya.
Pemuda UMNO Johor sangat yakin kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan setiap pembaharuan institusi yang diperkenalkan berteraskan prinsip akauntabiliti, keterangkuman dan kepentingan rakyat.
Dalam konteks itu, katanya, kewujudan lima ADUN lantikan diyakini mampu menyumbang kepada proses membuat keputusan yang lebih matang, seimbang dan berwawasan.
“Sesungguhnya, demokrasi yang matang bukan hanya diukur melalui proses pilihan raya semata-mata, tetapi juga melalui kekuatan institusi, kualiti wacana serta keupayaan sistem untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman,” katanya.- MalaysiaGazette
















