KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyelar tindakan pihak yang cuba memainkan propaganda politik ekoran keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman berkaitan pemberhentian pendakwaan terhadap bapanya.
Anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu berkata, mereka cuba mewujudkan persepsi seolah-olah keputusan telah dibuat untuk melemahkan moral ahli dan menanam kebencian terhadap parti.
Menurut beliau, naratif media tertentu cuba dibentuk untuk memberikan persepsi seolah-olah telah berlaku `kemenangan politik’ terhadap Presiden UMNO berkenaan.
“Hari ini ramai melihat tajuk berita seolah-olah telah `menang’ kes terhadap Presiden. Hakikat sebenar yang perlu difahami ialah mahkamah hanya membenarkan permohonan semakan kehakiman itu diteruskan ke peringkat pendengaran penuh.
“Dalam bahasa mudah, mahkamah hanya memberi ruang untuk hujahan penuh didengar. Proses undang-undang masih berjalan dan belum diputuskan berdasarkan merit keseluruhan kes.
“Realitinya, ini hanyalah proses awal dalam perjalanan semakan kehakiman,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding pendakwaan terhadap Presiden UMNO dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendapati permohonan Badan Peguam berasas.
Mahkamah berpendapat, semakan kehakiman itu menimbulkan isu undang-undang awam yang boleh dibicarakan dan seterusnya mengembalikannya ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif.
Nurulhidayah selanjutnya menjelaskan, prosiding hari ini hanya melibatkan kebenaran untuk semakan kehakiman diteruskan di mahkamah.
Ujarnya, dalam sistem perundangan, kebenaran (leave) hanyalah proses awal bagi menentukan sama ada sesuatu permohonan layak didengar ke peringkat penuh.
“Kita perlu faham, ia bukan keputusan bahawa Presiden UMNO bersalah dan juga bukan keputusan muktamad terhadap perintah lepas tanpa bebas (DNAA) yang telah diberikan sebelum ini.
“Oleh kerana kita adalah sebuah parti politik yang sering ditekan, kita juga berhak mempersoalkan mengapa tekanan dan desakan berterusan dilihat begitu tertumpu hanya kepada Presiden UMNO.
“Adakah ini benar-benar perjuangan prinsip? Atau wujud kecenderungan pendakwaan terpilih dari sudut tekanan persepsi awam dan politik?” soal beliau.
Nurulhidayah berpendirian, dalam negara demokrasi, semua pihak berhak mendapatkan proses keadilan dan bebas daripada tekanan politik mahupun tekanan persepsi media.
Katanya, jika prinsip undang-undang mahu dipertahankan, maka ia perlu konsisten kepada semua pihak, bukan hanya apabila melibatkan Presiden UMNO.
“UMNO pernah melalui ujian yang jauh lebih besar daripada ini. Parti ini dibina bukan dengan emosi sehari tetapi dengan ketahanan perjuangan puluhan tahun.
“Musuh politik mahu ahli UMNO hilang keyakinan sesama sendiri. Jangan kita izinkan kemenangan mudah kepada mereka melalui perpecahan dan panik yang dicipta oleh naratif politik. – MalaysiaGazette
















