ISKANDAR PUTERI – Pengendali Buriram United, Mark Jackson menyifatkan kejayaan anak buahnya yang banyak menyerap serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi lawan.
Beliau berkata, pada masa sama, setiap peluang yang dijelmakan berjaya diterjemah sebaik mungkin menjadi jaringan yang bermakna.
Jackson memuji ketajaman jentera serangan pasukannya setelah berjaya membolosi gawang JDT tiga kali ketika menang 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Katanya, kemenangan di tempat lawan itu memberi keyakinan buat Thunder Castle untuk melangkah ke pentas final dua musim berturut-turut.
“Ini merupakan perlawanan sukar buat kami, namun anak buah saya berjaya mempamer disiplin yang tinggi apabila berjaya menyerap tekanan dan bertahan dengan baik sebagai satu unit. Kredit perlu diberikan kepada mereka yang dapat mengikut taktikal yang diterapkan.
“Walaupun pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai bola, kita lebih tajam di hadapan gol. Setiap kali kita melancarkan serangan ke dalam kotak penalti, kita pastikan ia tidak disia-siakan begitu sahaja.
“Kita sudah berjaya buktikan pada musim ini bahawa kita mampu bermain pelbagai jenis permainan di mana kita bukan sahaja mampu bertahan dengan baik, malah memberi tekanan hingga mengkucarkacirkan persembahan lawan.
“Dengan kemenangan ini, memberi suntikan semangat buat pasukan dan bersedia untuk menerima kunjungan JDT pada 13 Mei ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.
Pada perlawanan itu, Guilherme Bissoli meledak dua gol manakala Goran Causic menambah satu gol ketika menjinakkan skuad Harimau Selatan di gelanggang sendiri.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran England itu mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai kemenangan itu sebaliknya memberi tumpuan penuh pada aksi timbal balik nanti.
“Perjalanan kita ke final ACC tampak cerah selepas kemenangan malam tadi, namun pemain tidak boleh terlalu yakin. Pastinya JDT mempunyai perancangan untuk bangkit pada separuh akhir kedua nanti,” ujarnya.- MalaysiaGazette















