KUALA LUMPUR – Sultan Selangor kekal dengan pendirian baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.

Setiausaha sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, ia seperti titah baginda menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari 2026.

“Pendirian tersebut dibuat setelah mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan babi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Munir, baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos yang amat tinggi dan tidak praktikal serta tidak mungkin dapat dilaksanakan hanya bagi memenuhi bekalan daging babi di Negeri Selangor sahaja.

Justeru, baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor.

Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar.

Sultan Selangor juga berpandangan penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast