Suspek lelaki warga Kemboja berusia 40 tahun ditahan polis selepas dipercayai menebang pokok Karas yang menghasilkan gaharu secara haram menggunakan parang di Taman Botanikal Ayer Keroh, Isnin lalu.

MELAKA – Kegiatan menebang pokok Karas yang menghasilkan gaharu secara haram di Taman Botanikal Ayer Keroh di sini, terbongkar apabila polis menahan seorang warga Kemboja, Isnin lalu.

Suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di kawasan parkir taman rekreasi awam pokok hutan hujan tropika itu yang mempunyai lebih daripada 300 spesies tumbuhan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada pengawas hutan yang menemui sebatang Pokok Karas atau gaharu telah ditebang di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit.

“Kejadian disedari kira-kira pukul 10 pagi ketika pengadu dan rakannya menjalankan rondaan sebelum mendapati pokok berkenaan tumbang dengan kesan ditebang menggunakan alat tajam.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan parang untuk menebang pokok berkenaan bagi mendapatkan isi gaharu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan parang untuk menebang pokok Karas berkenaan bagi mendapatkan isi gaharu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta jenis Proton Preve, sebilah parang, karung guni serta beberapa keping kayu dipercayai daripada pokok yang ditebang.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes narkotik, namun ujian air kencing yang dijalankan adalah negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Pokok Karas menghasilkan gaharu yang ditebang suspek untuk mendapatkan sejenis resin (damar) beraroma yang bernilai tinggi khususnya bagi kegunaan minyak wangi dan perubatan, malah turut digelar sebagai ’emas hitam’ kerana harganya yang sangat mahal, kadangkala melebihi harga emas.

Pada Ogos tahun lalu Polis Bukit Aman menerusi Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan agensi lain berjaya menumpaskan sindiket penjualan kayu gaharu secara haram bernilai lebih RM106 juta yang turut dieksport ke luar negara.

Kejayaan itu hasil risikan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang berjaya menyerbu dua lokasi iaitu sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini dan rumah di Ayer Keroh pada jam 11.30 pagi 31 Julai 2025.

Komoditi perhutanan itu bernilai tinggi khususnya bagi pembuatan minyak wangi dan perubatan, malah turut digelar sebagai ’emas hitam’ kerana harganya yang sangat mahal, kadangkala melebihi harga emas.

Pokok Karas menghasilkan gaharu, iaitu sejenis resin (damar) beraroma yang terbentuk secara semula jadi hasil daripada tindak balas pertahanan pokok terhadap jangkitan fungus, kecederaan fizikal, atau serangan serangga.

Tujuannya adalah bagi melindungi bahagian yang terjejas seperti batang, dahan, dan akar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast