Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan rampasan dadah jenis bunga ganja pada sidang media berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Polis Bantuan MAHB menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM12.6 juta di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 Mei 2026.

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja seberat 156.7 kg bernilai RM12.6 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu hasil daripada tiga serbuan berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KLIA) Sepang bersama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA antara 28 dan 30 April  lalu.

Menurut beliau, seramai tujuh keldai warganegara asing ditahan ketika serbuan yang dipercayai mendapat upah lumayan lebih RM13,000 hingga RM20,000.

“Dalam siri serbuan ini pihak polis berjaya menahan enam lelaki dan seorang perempuan dipercayai dalam rangkaian pengedaran dadah tersebut,” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai, IPK Selangor hari ini.

Wajah suspek yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dipaparkan pada sidang media berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Polis Bantuan MAHB menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 Mei 2026.

Beliau berkata, empat bagasi mencurigakan dikesan di KLIA 1 yang membawa kepada 64 bungkusan plastik dadah itu seberat 67.2 kg bernilai RM5.4 serta penahanan tiga suspek.

“Dlaam serbuan kedua pada 30 April lalu, dua bagasi dikesan semasa melalui mesin imbasan di Terminal KLIA.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA telah menahan seorang suspek lelaki warga asing berumur 20 tahun di sekitar Terminal KLIA.

“Pada 30 April lalu, sepasukan polis menahan dua suspek lelaki warga asing berumur 19 dan 25 tahun di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang, Selangor dan merampas empat bagasi berisi 109 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60 kilogram,” tambahnya.

Sebahagian bagasi yang digunakan untuk menyimpan dadah dipamerkan pada sidang media berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama Polis Bantuan MAHB menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 8 Mei 2026.

Ujar beliau, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 27 tahun kini direman dengan tempoh berasingan.

Katanya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedar ke benua Eropah dan ketiga-tiga serbuan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast