KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Azam Ab Rahman sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP baharu berkuat kuasa 21 April ini hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan beliau merupakan langkah strategik dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PPZ-MAIWP, khususnya dalam memperkasa fungsi kutipan zakat dan wakaf secara lebih tersusun dan inovatif demi kesejahteraan ummah.
PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ahmad Azam mengisi kekosongan jawatan yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Amrin Awaluddin yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 14 Februari 2026.
Menurutnya, Ahmad Azam, 66, merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam aktiviti kemanusiaan, diplomasi antarabangsa serta pembangunan masyarakat.
Jelasnya, Ahmad Azam memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Indiana State University dan Ijazah Sarjana Pentabdiran Perniagaan dari Stephen F. Austin State University.
“Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan di beberapa buah organisasi termasuk MARA, Institut Kajian Dasar serta sebagai tenaga pengajar di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.
“Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Ahmad Azam dan yakin pengalaman luas serta kepimpinan strategik yang dimiliki akan terus memperkukuh kelangsungan tadbir urus serta keberkesanan operasi kutipan zakat dan wakaf di Wilayah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















