KUALA LUMPUR – Jalan Bukit Bintang akan ditutup bermula jam 12 tengah malam ini sehingga 5 pagi esok, sempena penganjuran program Quranic Madani ‘Night Reset: Bersatu Dalam Saf @ Bukit Bintang’.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, program yang dijadual berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 11 malam itu akan diadakan di Jalan Bukit Bintang berhadapan Pavilion Kuala Lumpur.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran program dan keselamatan pengguna jalan raya, beberapa penutupan serta lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa sepanjang acara berlangsung.
“Bagaimanapun, jalan akan dibuka semula secara berperingkat selepas tamat program tertakluk kepada keadaan lalu lintas dan situasi semasa di lokasi.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menggunakan laluan yang terlibat sepanjang tempoh program berlangsung serta merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif.
“Pengguna jalan raya digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT Monorel atau perkhimatan e-hailing bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Zamzuri, anggota polis trafik akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi membantu melancarkan aliran trafik serta memberi panduan kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas selain mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan dilaksanakan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan program dan laluan terlibat boleh diperoleh dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















