MELAKA – Polis mengesahkan kejadian seorang murid lelaki Tahun Lima yang cedera selepas terjatuh dari bumbung garaj sebuah sekolah di Batu Berendam di sini kelmarin, bukan berunsur buli atau penganiayaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner, Christopher Patit berkata, ia selepas siasatan kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu mendapati mangsa adalah pelaku sendiri.
Menurutnya, ketika waktu pertukaran kelas, mangsa, murid lelaki tahun Tahun Lima dipercayai membaling kasut milik pelajar lain dari tingkat satu bangunan sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal di bawahnya.

“Mangsa kemudian cuba mengambil semula kasut tersebut dengan memanjat struktur berkenaan, namun ketika cuba naik semula ke koridor di tingkat satu, bahagian bumbung dipijak patah.
“Ia mengakibatkan mangsa terjatuh ke bawah dan mengalami kecederaan di kaki kanan sebelum diberikan bantuan kecemasan oleh pihak sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka
namun dipindahkan ke Hospital Pakar Putra untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan.
Christopher berkata, siasatan pegawai penyiasat bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi-saksi mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan sendiri.

“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian,” katanya sambil menambah siasatan dibuka di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang murid lelaki Tahun Lima cedera selepas dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil kasutnya yang didakwa dilempar seorang murid lelaki lain. – MalaysiaGazette
















