KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor bakal mengadakan satu himpunan bagi mempertahankan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan kontroversi berhubung cadangan aktiviti penternakan babi di negeri itu.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar mendakwa, tindakan pihak tertentu yang terus mencabar berkaitan isu berkenaan sebagai biadab dan beliau memberi bayangan bahawa himpunan besar akan dianjurkan dalam masa terdekat.
“Pemuda Pas Selangor siap himpunan mempertahankan titah DYMM Tuanku Sultan Selangor. Bangsa biadab DAP perlu diajar. Tunggu tarikhnya! Sedia hadir?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Himpunan tersebut difahamkan diadakan sebagai tanda protes terhadap cadangan aktiviti penternakan babi di Selangor yang didakwa menimbulkan kemarahan dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu dan umat Islam.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada butiran lanjut diumumkan termasuk lokasi, tarikh serta anggaran jumlah peserta yang dijangka hadir.
Isu berhubung cadangan penternakan babi itu sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi termasuk gesaan supaya kerajaan negeri mengambil kira sensitiviti rakyat serta mematuhi titah Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan berkaitan dasar dan pembangunan di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette
















