Sekumpulan peniaga barangan nelayan membuat laporan polis atas dakwaan tunggakan program bantuan nelayan kerajaan negeri Pulau Pinang tertunggak lebih setahun.

GEORGE TOWN – Sekumpulan peniaga peralatan nelayan di Pulau Pinang mendakwa berdepan tekanan kewangan serius apabila bayaran tuntutan bagi program bantuan nelayan kerajaan negeri yang disertai mereka sejak tahun lalu masih belum diselesaikan sehingga kini.

Wakil kepada lapan peniaga terbabit, Foong Yean Keong, 59, mendakwa mereka menerima surat jemputan rasmi daripada kerajaan negeri pada akhir Mac 2025 untuk menyertai program penukaran bantuan nelayan membabitkan nelayan berdaftar di seluruh negeri.

Menurutnya, surat jemputan itu menyatakan tempoh tukaran sah selama 60 hari selain menjelaskan jenis alat bantuan nelayan yang layak ditukar, kaedah pengesahan nelayan, tarikh akhir penyerahan baucar serta komitmen bahawa pembayaran penuh akan dibuat dalam tempoh dua minggu selepas proses pengesahan selesai.

Yean Keong mendakwa setiap nelayan berdaftar di negeri ini menerima baucar bernilai RM350 dengan keseluruhan program membabitkan peruntukan RM500,000.

“Kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan peruntukan itu sudah digunakan apabila nelayan mengambil pelbagai peralatan seperti pukat, tali, tong air dan mata kail daripada lapan peniaga terbabit.

“Sepanjang tempoh program berlangsung, pegawai berkaitan sentiasa berhubung dengan mereka termasuk meminta bukti gambar sebagai pengesahan bahawa nelayan sudah menerima barangan.

Yean Keong mendakwa setiap nelayan berdaftar di negeri ini menerima baucar bernilai RM350 dengan keseluruhan program membabitkan peruntukan RM500,000.

“Dua minggu selepas program bermula ketika cuti Hari Raya Aidilfitri, kami diarahkan menghentikan sementara aktiviti sehingga notis lanjut. Namun, selepas cuti tamat, tiada arahan baharu diterima tetapi kami tetap mematuhi syarat ditetapkan termasuk rekod senarai peralatan yang sudah diberikan kepada penerima,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, tiada sebarang maklumat lanjut mahupun pembayaran dibuat kepada mereka dan keadaan itu lebih mengecewakan apabila berlaku pertukaran portfolio Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Pembangunan Usahawan negeri daripada Fahmi Zainol kepada Datuk Rashidi Zinol.

“Pihak berkaitan terus membisu berhubung tuntutan pembayaran berkenaan. Malah lima minggu lalu, kami sudah menghantar surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, bahagian kewangan negeri, Exco baharu serta pejabat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga hari ini.

“Kami tak sangka akan timbul masalah sebab program sama pernah dilaksanakan pada 2019 dan ketika itu semua proses pembayaran berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

“Disebabkan pengalaman itu, kami percaya dan terus membekalkan barangan kepada nelayan meskipun tiada bayaran awal dilakukan.

“Justeru kami tampil membuat laporan polis dan mendesak kerajaan negeri menyegerakan pembayaran kerana tunggakan ini sudah melebihi 12 bulan,” katanya.

Terdahulu kumpulan peniaga terdiri daripada pengusaha kedai peralatan nelayan di Teluk Kumbar, Nibong Tebal, Butterworth dan George Town itu membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Abdul Jalil.

Sementara itu, seorang lagi peniaga terkesan, Abdul Jalil Abdul Rahim, 63, mendakwa dia kini berisiko menutup perniagaan kerana tidak lagi mempunyai simpanan selain ditekan pembekal yang menuntut bayaran.

Katanya, nelayan sudah mengambil barangan bernilai kira-kira RM60,000 menggunakan baucar di premis miliknya.

“Setakat ini kedai masih beroperasi tetapi saya terpaksa meminjam barang jualan daripada kawan-kawan demi meneruskan perniagaan.

“Saya rasa tertekan dan kecewa kerana ini kali pertama saya sertai program ini, manakala peniaga lain sudah kali kedua. Saya ingat kerajaan negeri boleh dipercayai tetapi sekarang saya diletakkan dalam situasi sukar.

“Saya hanya mahu tunggakan ini disegerakan dan kami harap kerajaan negeri tidak lepas tangan terhadap apa yang kami tanggung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast