Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah menegaskan tidak akan berkompromi sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian di negeri ini khsusnya membabitkan isu 3R (agama, kaum dan raja).

Titah baginda, semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat toleransi dan undang-undang.

“Saya memandang serius insiden memijak kitab suci al-Quran di UMPSA (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah).

“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan,” baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Dewan Negeri, Wisma Negeri Pahang, di sini hari ini.

Baginda dalam masa sama mengingatkan agar isu 3R tidak disentuh terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana ia boleh menggugat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut bertitah bahawa pihak pembangkang dan kerajaan perlu menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kebajikan dan keharmonian rakyat sentiasa terpelihara.

Titah baginda, wakil rakyat yang diberi mandat perlu melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

“Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Rajinkan diri turun naik ke jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan.

“Jangan sampai masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast