Tangkap layar insiden seorang remaja perempuan dikelar dalam kejadian di Kampung Tuntuluk Nosoob, Penambang, Sabah, semalam. -

KUALA LUMPUR – Tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan cedera dikelar di bahagian leher dan ditetak dalam kejadian di Kampung Tuntuluk Nosoob, Penambang, Sabah, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superitendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumkat, seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun ditahan di kawasan semak di tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar sekitar jam 5.50 petang hari sama.

“Hasil siasatan mendapati, semasa kejadian mangsa berusia 16 tahun itu berada di rumah bersama anak buahnya dan mangsa difahamkan membantu menjaga kanak-kanak lelaki itu ketika kakak iparnya keluar bekerja.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa dengan kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang membaiki paip rumah dan ketika kejadian, mangsa sedang memegang sebilah pisau kerana sedang menyiapkan masakan di dapur.

“Suspek mendakwa mangsa telah mengeluarkan kata-kata kasar hingga menyebabkan dia berasa marah lalu merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudian menolak mangsa ke tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher sebelum bertindak melarikan diri.

“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai penyiasat telah hadir ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.

“Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu dengan bantuan ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami beberapa kecederaan serius iaitu luka kelar di bahagian leher dan luka tetakan di bahagian kiri kepala,” jelasnya.

Beliau berkata, tangkapan suspek dibuat oleh Bahagain Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran awam serta mengganggu siasatan polis,” ujarnya.

Jelasnya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kanan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang, ASP Hairie Awang Akub di talian 016-8032849. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast