Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Plaza Angsana Mall Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerima 6,000 pasang pakaian tahan api baharu menjelang Ogos ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembekalan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah 437.2 juta yang diluluskan bagi memperkasa aset, logistik dan kebajikan anggota kebajikan bomba seluruh negara.

“Proses perolehan kelengkapan tersebut kini berada pada fasa akhir sebelum diserahkan kepada JBPM secara berperingkat-peringkat.

“Kerajaan turut meluluskan pembekalan 14 aset jentera hazardous materials (hazmat dan Cbrne) berserta aksesori selain kerja naik taraf kuaters dan baik pulih balai bomba seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di pekarangan Plaza Angsana Mall Johor Bahru di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir.

Katanya, penambahan kelengkapan dan kemudahan itu bukan sekadar tanda penghargaan kepada warga bomba, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan ‘wira merah’ itu dapat melaksana tugas menyelamat dengan lebih cekap, tanpa kompromi terhadap keselamatan diri.

“Perolehannya sudah dalam proses terakhir tender. Saya yakin ia akan dilengkapkan dalam masa yang terdekat sebelum bulan kemerdekaan, bulan kebangsaan,” ujarnya.

Tambahnya, proses tersebut akan dipercepatkan supaya kesiapsiagaan bomba tidak akan terjejas.

“Saya mahu pasukan regimen sebagai pasukan berdisiplin. Kesiapsiagaannya kena berada di tahap 100 peratus. Tiada ruang untuk kompromi dari segi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Kor Ming berharap JBPM dapat meraih anugerah emas integriti governance dan antirasuah sektor awam pada tahun ini selaras dengan semangat jubli emas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast