JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr Naqib Ghazali menegur seorang pemimpin tertinggi DAP menulis nama Malaysia dengan singkatan M’sia dalam hantaran Facebook miliknya kerana boleh menimbulkan salah faham.
Menurutnya, perkara itu tidak sewajarnya disengajakan lebih-lebih lagi membabitkan seorang pemimpin dan memegang jawatan menteri dalam kerajaan.
“Sebagai pemimpin yang memegang jawatan penting dalam negara, penggunaan ejaan dan bahasa yang tepat wajar diberikan perhatian, lebih-lebih lagi apabila melibatkan nama negara.
“Ia mungkin nampak kecil, namun perkara kecil inilah yang membentuk imej, rasa hormat dan nilai patriotisme kita sebagai rakyat Malaysia.
“Saya sentiasa bersangka baik dan memahami bahawa singkatan kadangkala digunakan dalam komunikasi harian atau santai. Jika melibatkan perkataan umum, mungkin masyarakat masih boleh bertolak ansur.
“Namun apabila melibatkan nama negara, eloklah kita menggunakan Malaysia dengan penuh dan sempurna sebagai tanda hormat kepada tanah air yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ini bukan soal politik semata-mata tetapi soal jati diri dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Tegasnya, negara ini terlalu besar nilainya untuk dipendekkan sekadar kebiasaan penulisan media sosial.
“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menjaga bahasa, adab dan imej negara dengan sebaiknya. Saya sayang Malaysia,” ujar beliau.
Terdahulu tular hantaran dalam Facebook milik pemimpin tertinggi DAP yang mencatatkan secara ringkas sejarah perjuangan parti itu.
“Satu kisah perjuangan. DAP tiada pangkat, jawatan mahupun kuasa bila parti keramat ini ditubuhkan pada 1966.
“Dlm perjuangan selama 6 dekad, keazaman berjuang utk bangsa M’sia tidak pernah luntur,” menurut hantaran tersebut.
Hantaran itu kemudian dimuat naik semula dalam satu Facebook dengan menggunakan akaun atas nama afiqhazafi:
“Nak tulis Malaysia penuh pun tak sanggup sebab apa? Sebab perkataan Malay = Melayu. Kongsi dan sebarkan pada semua Melayu yang masih buta,” tulisnya.- MalaysiaGazette
















