KUALA LUMPUR – Bekas wakil rakyat dan exco kerajaan negeri, Ronnie Liu Tian Khiew diminta menghentikan polemik berhubung isu yang telah diputuskan serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan keputusan kerajaan negeri, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Danial Al-Rashid Haron.
Menurut beliau, Ronnie sepatutnya memahami tanggungjawab sebagai bekas pemegang jawatan kerajaan yang sebelum ini turut mengguna pakai pendekatan pentadbiran berasaskan dasar, undang-undang serta pertimbangan kerajaan negeri.
“Jangan jadi hipokrit hanya kerana kini berada di luar pentadbiran,” katanya, sambil menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar politik atau sentimen peribadi, sebaliknya melibatkan tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kepentingan awam, keharmonian, alam sekitar dan dasar pembangunan negeri secara menyeluruh.
Terdahulu, bekas wakil rakyat DAP itu mencadangkan agar penternak babi di Selangor mempertimbangkan tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman susulan kemelut larangan aktiviti penternakan tersebut di negeri itu.
Ronnie menegaskan bahawa, di bawah sistem Raja Berperlembagaan, sebarang titah atau keputusan mestilah selari dan tidak melangkaui peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri.
Beliau mendakwa, peguam yang dirujuk percaya hak para penternak dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang tertinggi negara.
Dalam pada itu Danial Al-Rashid menegaskan, kenyataan Ronnie yang didakwa cuba membina persepsi negatif terhadap institusi serta keputusan kerajaan negeri adalah tidak bertanggungjawab.
Katanya lagi, sekiranya kenyataan itu tidak ditarik balik dan permohonan maaf tidak dibuat, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap sebarang kenyataan berunsur provokasi.
“Selaku Ahli Dewan Negeri Selangor, saya menjunjung kasih dan menghormati titah Tuanku serta prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kestabilan dan keharmonian negeri ini,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette
















