Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

KUALA LUMPUR –  Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengesahkan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung selama dua penggal berkuat kuasa 8 Mei lalu.

Menurut beliau, keputusan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi Lembaga Disiplin Bersatu yang ditandatangani pengerusinya, Datuk Mohd Radzi Manan.

Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat atas dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti.

Katanya, antara alasan diberikan ialah beliau menghadiri program politik anjuran individu yang telah digantung dan dipecat parti selain menghadiri Program Aidilfitri RESET Malaysia pada 10 April lalu.

“Saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan tidak akan membuat sebarang rayuan. Saya juga hairan apabila kehadiran ke majlis Aidilfitri yang bertujuan mengeratkan silaturahim dianggap sebagai satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa tindakan disiplin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan usaha menghalangnya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara itu bukan ditentukan oleh Bersatu sebaliknya rakyat di kawasan Parlimen Tanah Merah.

“Rakyat Tanah Merah lebih memahami apa yang telah saya lakukan sepanjang menjadi ahli Parlimen di kawasan itu. Insya-Allah saya akan tetap bertanding sekiranya terus mendapat sokongan rakyat walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham memaklumkan beliau akan terus membawa suara rakyat atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun semua jawatan dalam Bersatu telah dilucutkan dan beliau dilarang membuat kenyataan atas nama parti namun beliau masih bertanding menggunakan lambang Pas pada PRU-15.

“Saya akan terus melaksanakan tanggungjawab serta memperjuangkan nasib rakyat Tanah Merah dan negara atas nama Perikatan Nasional,” katanya.

Mengulas hala tuju politiknya, beliau berkata, perkara itu belum difikirkan memandangkan statusnya ketika ini hanya digantung dan bukannya dipecat daripada Bersatu.

“Apabila tiba masanya nanti, saya akan maklumkan hala tuju politik saya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast