KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 tidak patut mencetuskan tafsiran dan persepsi kerana ia diputuskan oleh ahli-ahli majlisnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pindaan terhadap akta berkenaan dibuat demi memastikan institusi itu kembali kepada landasan penubuhannya selain memperkukuh tadbir urus pengurusan.
“Ia supaya landasan penubuhan MARA daripada perut UMNO yang menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965 itu tidak tersasar.
“Jangan ada interpretasi yang negatif ataupun yang berbeza-beza,” katanya selepas menyampaikan ucapan penutup pada Musyawarah Nasional di ibu negara hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengesahkan bakal membentangkan draf pindaan Akta MARA kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.
Jelas beliau , ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya akta pindaan dan baharu berkenaan disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
“Insya-Allah dalam tempoh dua minggu ini saya akan bentangkan sendiri. Sebenarnya saya telah mempengerusikan dua kali mesyuarat dengan ahli-ahli majlis, pegawai kanan dan juga panel peguam untuk melihat butirannya,” tambahnya.
Sebelum ini Ahmad Zahid berkata, penggubalan akta baharu itu tidak hanya tertumpu kepada enam teras utama malah memberi penekanan kepada elemen lain.
Antaranya adalah perihal tadbir urus, pengurusan, pelaburan serta pelaksanaan ekosistem pendidikan yang merangkumi keusahawanan dan teknologi baharu. – MalaysiaGazette
















