Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dibenar mewartakan harta milik adik ipar bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizzudeain Jantan melibatkan sejumlah 23 jam tangan mewah Rolex dan 15 barang kemas.

Mahkamah Sesyen mengeluarkan perintah itu hari ini setelah membenarkan permohonan pendakwa raya selepas wanita tersebut, Nor Shahirah Atirah Anuar @ Kamaruddin tidak membantahnya.

Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan 26 Jun ini bagi membolehkan pihak ketiga mencabar permohonan pelucuthakan yang difailkan pendakwa raya pada 4 Mei lalu.

Sebelum tarikh itu, pihak ketiga yang berhasrat untuk mencabar permohonan pelucuthakan, boleh mengemukakan afidavit sebelum mahkamah memutuskan sama ada harta berkenaan dilucuthakan atau sebaliknya.

Menerusi dokumen yang diperoleh pihak media, pendakwa raya memohon untuk disiarkan notis dalam warta di bawah Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk memanggil mana-mana pihak berkepentingan yang menuntut harta berkenaan, hadir ke mahkamah bagi mengemukakan sebab mengapa harta-harta berkenaan tidak patut dilucuthakkan.

Menurut dokumen, pendakwa raya di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah menyita harta berkenaan pada 10 Januari lalu tanpa sebarang pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mewakili Kerajaan Malaysia selaku pemohon manakala peguam Aizul Rohan Anuar mewakili Nor Shahirah sebagai responden.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/05/11/pendakwaan-mohon-lucut-hak-harta-isteri-bekas-panglima-tentera-darat/

Salwani dan suaminya didakwa secara berasingan pada Januari lalu.

Pada 22 Januari, Salwani, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima RM77,000 hasil haram melalui akaun bank CIMB Wany Venture antara November 2024 dan November 2025, di mana Salwani adalah pengawal syarikat itu.

Di Terengganu pula, pada 26 Januari, wanita itu didakwa atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast