Mahmud Ali Basha

MAKKAH – Penantian panjang selama puluhan tahun untuk menunaikan ibadah haji akhirnya menjadi kenyataan buat seorang pelakon veteran tanah air yang bersyukur diberi peluang menjadi tetamu Allah pada usia 66 tahun.

Mahmud Ali Bashah yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, kesedaran untuk menunaikan haji ketika usianya lewat 20-an selepas melihat rakan-rakan mula mengerjakan umrah dan haji.

“Saya sebenarnya dah lama tunggu peluang untuk mengerjakan haji. Masa umur 20-an dulu saya ambil endah tak endah sahaja. Tapi bila tengok kawan-kawan pergi umrah dan haji, timbul kesedaran untuk daftar haji,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kesilapan awal ketika mendaftar haji menyebabkan tempoh menunggunya menjadi lebih lama kerana menyangka hanya membuka akaun Tabung Haji sudah memadai tanpa mengetahui perlu mempunyai simpanan minimum yang ditetapkan.

“Saya pergi daftar dekat Tabung Haji di Ampang. Saya ingat buka akaun sahaja sudah cukup. Rupanya kena cukupkan jumlah simpanan tertentu. Sebab itu giliran saya jadi lambat. Kalau ikut giliran asal, mungkin lagi 10 atau 20 tahun baru dapat panggilan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak pernah berputus asa dan membuat rayuan sebanyak tiga kali sebelum akhirnya dipanggil menunaikan haji pada tahun ini.

“Alhamdulillah, kali ketiga buat rayuan baru saya dapat datang sini,” katanya.

Pelakon yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni itu berkata, pengalaman menunaikan umrah sebelum ini banyak membantu dirinya lebih menghayati ibadah haji.

“Umrah itu ibadah yang singkat, 10 hingga 12 hari sahaja tapi haji ini lebih mendalam rasanya. Bila sudah ada pengalaman umrah, datang pula haji, perasaan itu lebih terasa,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman tinggal bersama rakan-rakan sebilik sepanjang berada di Madinah dan Makkah yang disifatkannya sebagai satu memori indah dalam mengeratkan ukhuwah sesama jemaah.

“Masa di Madinah saya sebilik dengan jemaah dari Kelantan dan Kuching. Di Makkah pula bersama tiga orang dari Kuching dan seorang dari Negeri Sembilan. Semua okay.

“Bagi saya, semuanya bergantung kepada cara kita berinteraksi dan saling membantu kerana kita datang sini untuk beribadah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui kini lebih memilih untuk menjalani kehidupan tenang di kampung halaman selepas hampir 37 tahun aktif dalam dunia lakonan di Kuala Lumpur.

Katanya, dunia seni banyak menuntut pengorbanan masa dan tenaga sehingga ada perkara penting dalam kehidupan yang terabai.

“Saya rasa sekarang sudah sampai masa untuk diri sendiri. Saya ambil keputusan balik kampung dan settle down di sana. Kalau ada tawaran berlakon di Sarawak, insya-Allah saya pertimbangkan. Tapi kalau di Semenanjung, saya agak reluctant sedikit sebab sudah penat nak travel dan sibuk macam dulu.

Menurutnya lagi, faktor usia turut membuatkan dirinya semakin banyak memikirkan soal kematian dan kehidupan akhirat.

“Kita tidak tahu umur kita sampai bila, sepatutnya kita lebih menumpukan perhatian hidup kita kat sana (akhirat) especially bila umur-umur macam ini.

Mahmud Ali Basha

“Saya selalu fikir tentang kematian. Bila umur meningkat, kita sedar ramai kawan-kawan sudah pergi dulu. Bila datang mengerjakan haji ini, memang timbul kesedaran untuk lebih menumpukan hidup kepada akhirat dan memperbaiki diri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya rakan-rakan dalam industri seni supaya tidak bertangguh menunaikan ibadah haji atau umrah jika mempunyai kemampuan.

“Kalau ada kemampuan, pergilah mengerjakan umrah dan haji. Insya-Allah kita akan jadi lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast