Salah satu motosikal yang disita menerusi Op Samseng Jalanan oleh IPD Lipis

KUANTAN – Tiga lelaki ditahan manakala motosikal mereka disita selepas klip video aksi menunggang secara berbahaya (wheelie) tular di media sosial pada 5 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, aksi berani itu dipercayai dilakukan mereka di Kilometer 4, Jalan Lipis-Felda Kechau, Lipis.

“Polis mengesan video tular berdurasi 22 saat di laman Facebook memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi menunggang dengan cara merbahaya bersaing sesama sendiri dan mengangkat tayar hadapan (wheelie).

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis menjalankan Op Samseng Jalanan di sekitar kawasan Bandar Kuala Lipis semalam dan menahan ketiga-tiga mereka.

“Dua daripada mereka berusia 20 tahun dan seorang lagi berusia 19 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pemanduan atau menunggang secara berbahaya.

Justeru mana-mana pihak yang menyaksikan aktiviti seperti itu atau mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang diseru agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang kerana kegiatan tersebut turut mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast